Surau di atas terletak di Kampung Limau. Litar letriknya berada dalam keadaan baik, berfungsi, begitu juga dengan peralatan amplifier dan pembesar suaranya. Setiap subuh, selaku imam di kampung ini, Abak akan melaungkan azan.
Amnya, surau ini terbela. Kecuali terdapat satu kecacatan kecil. Seperti juga dengan semua rumah dalam kampung ini, surau ini tiada bekalan air.
Di dalam kes ini, pihak yang berwajib sebenarnya tidak boleh disalahkan, sepenuh. Di peringkat awal pembangunan kampung ini, penduduk mendapat bekalan air melalui sistem paip yang disambungkan ke takungan (tandak/tanduk) air yang berada di kawasan tinggi yang berair.Tetapi kini setelah banyak kawasan hutan dan muka bumi rosak ekoran aktiviti pembalakan, sistem paip "primitif" ini sudah tidak berfungsi. Kejadian ini bukanlah unik kepada kampung ini sahaja, tetapi cerita ini boleh diulang taip untuk semua kampung dalam "mukim" ini.
Sebagai penonton kita boleh mengambil sikap pasif, yakni tunggu dan lihat jika dan bila pihak yang berwajib bertindak membetulkan keadaan. Tetapi di masa yang sama kita sebagai penonton yang prihatin boleh juga mengambil sikap "bangun membuat." Yakni, kita fikirkan kaedah untuk membolehkan air disambung ke surau tersebut.
Satu ciri geografis rumah-rumah Orang Asli pasca penempatan semula ialah kebanyakannya terletak di lereng bukit, manakala bekalan air adalah, nun, di sana di kaki bukit. Bak kata Penghulu Ajong, dia terpaksa berhenti berjalan sebanyak lima kali sebelum sampai ke sungai. Apatah lagi bila naik dari sungai.
Mengepam air dari sungai ke kawasan perumahan mereka adalah satu kaedah yang munasabah untuk membolehkan bekalan air. Tetapi setentunya usaha ini melibatkan kos, fulus, wang ringgit. Siapa yang patut biaya? Siapa yang sudi menderma?
No comments:
Post a Comment