
Hubungan dengan Tuhan – Hubungan dengan manusia. Saya kira ungkapan ini adalah satu “jalan keluar” bagi ramai manusia Muslim macam saya yang tidak melazimi memakai kopiah atau serban, tidak mentabiatkan solat berjemaah, dan tidak punyai titik-titik lebam didahi tanda kerap sujud.
[Gambar di atas ialah seorang wanita yang sudah dua kali di timpa malang dalam umur beliau tidak sampai 23 tahun. Kali pertama, suaminya seorang bangsa "bertamadun" menghilangkan diri semasa dia dalam pantang sampai memerlukan fasakh . Kali kedua, bila bulan lepas suaminya yang kedua meninggal dunia ditimpa kayu balak semasa berkerja dengan seorang taukeh balak. Pampasan kerja? Usahlah dicerita kerana bangsa Orang Asli ialah umat yang selazimnya dieksploitasikan. Gambar kedua ialah seorang janda beranak 12. Kedua-dua adalah wajah Islam].
Lantas, saya kira orang macam saya terpaksa sentiasa mengingati diri bahawa antara lain, Islam punyai dua dimensi penting – dimensi vertikal (hubungan dengan Tuhan) dan dimensi horizontal (hubungan dengan manusia).
Kalau ya benar pun kita “selekeh” dalam aspek beribadah kepada Allah, sekurang-kurangnya kita dapat “cover” keselekehan tersebut dengan cara menggembirakan hati manusia lain. (Saya kira falsafah ini adalah satu tafsiran praktis terhadap peringatan Nabi Muhammad s.a.w. kepada wanita Muslim, bahawa jalan mendapatkan keridhoan Allah itu bukan payah, malah boleh diperolehi lewat melayani keinginan suami untuk bermesra di atas belakang unta).
Pada posting ini saya tidak bercadang untuk berpanjang lebar merungkaikan apa yang saya faham tentang tajuk post ini, cuma sekadar berkongsi gambar wajah-wajah yang telah digembirakan oleh secuit sentuhan kemanusian.




[Masalah hidup Orang Asli dengan masalah bangsa lain di Malaysia adalah sama. Cuma yang membezakan darjah ketenatan ialah peluang dan keupayaan mereka mengatasi masalah. Gambar kanak-kanak perempuan di atas ialah anak yang ditinggalkan oleh bapanya -- dari kalangan manusia bertamadun -- selepas di lahirkan. Orang tua di atas ialah wajah seOrang Asli yang sebatang karah. Manakala wajah terakhir ialah seorang anak yatim bukan-Islam yang menumpang ehsan masyarakat sekampung]
Sayang, saya tidak dapat menunjukan gambar panorama majlis yang dikisahkan di sini kerana di petang yang panas terik itu, hujan lebat tiba-tiba turun sebaik saja nama pertama penerima bantuan di baca. Dan hujan tiba-tiba berhenti selepas penerima bantuan terakhir, seorang anak yatim menerima bahagiannya.

























